2010/07/09
BANK Negara Malaysia akan mengemukakan cadangan akhir rangka kerja bagi skim perlindungan insurans kenderaan bermotor pihak ketiga (TPBID) yang baru untuk pertimbangan kerajaan, pada Disember ini.
Dalam kenyataannya semalam, bank pusat itu berkata, cadangan berkenaan adalah berpandukan kepada empat prinsip iaitu memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan perlindungan asas; menyedia-kan perlindungan asas pada premium berpatutan; terus menyediakan perlindungan tambahan secara sukarela selain perlindungan asas; dan menghasilkan penyelesaian tuntutan lebih cepat.
Sebagai skim asas, satu daripada ciri dicadangkan ialah mengehadkan liabiliti di bawah skim TPBID itu supaya pampasan dibayar boleh dihadkan, contohnya RM2 juta bagi setiap mangsa yang cedera atau kematian.
Pampasan ini juga tertakluk kepada had berdasarkan kategori kerugian masing-masing seperti kecederaan diri, penjagaan kejururawatan dan kehilangan mata pencarian, katanya.
Jelasnya, dua pilihan telah dibentangkan kepada pihak berkepentingan yang utama bagi mendapatkan maklum balas, yang mana senario A mencadangkan skala pampasan tetap dengan akses kepada mahkamah yang terhad.
Menerusi senario itu, dicadangkan premium tidak dinaikkan dan penyelesaian tuntutan lebih cepat.
Senario B pula mencadangkan pampasan berjulat dengan akses sepenuhnya kepada mahkamah seperti sistem yang ada, dan ini membabitkan kenaikan premium yang berpatutan.
Katanya, cadangan rangka kerja TPBID itu hasil perbincangan awal Bank Negara dan Kementerian Kewangan dengan pihak berkepentingan pada April lalu.
Susulan itu, satu kertas perbincangan menjelaskan kewajaran bagi mencadangkan skim asas, prinsip panduan, objektif dan ciri umum yang dalam pertimbangan disiarkan dalam laman web Bank Negara untuk membolehkan orang ramai memberikan maklum balas terhadap skim ini.
No comments:
Post a Comment